Sunday, October 26, 2014

Cadbury


Berbanding dengan pelajar Muslim di Seoul, aku rasakan hidup aku lebih payah berbanding mereka. Lebih-lebih lagi dalam soal makanan.

Sewaktu di Busan, aku ditempatkan di asrama yang tiada kelengkapan memasak, dan juga tidak membenarkan makanan luar dibawa ke dalam bilik. Ya, tinggal di asrama Korea memang penuh dengan undang-undang ketat. Hinggakan anda perlu turun ke kafeteria semata-mata untuk makan mi segera!

Itu, kisah aku di Busan. Memang sukar untuk aku dapatkan makanan. Lokasi universiti yang terletak di kawasan bukit, menyukarkan pergerakan aku untuk ke pusat bandar atau pekan-pekan berdekatan. Satu-satunya tempat untuk aku mengisi perut, adalah di kafeteria asrama.

Kafeteria asrama, beroperasi 3 kali sehari. Pagi, tengahari, dan lewat petang. Menu sudah ditetapkan. Masa juga sudah ditetapkan. Andai terlepas waktu, maka berlagu pilulah perut anda untuk hari itu. Menu makanan pula, jika pada hari itu hanya ada spagetti, spagetti sahajalah. Jika nasi berlauk daging babi, nasi dengan kimchi sahajalah. Untung sahaja kimchi diberikan secara percuma.

Pada awalnya, aku masih asing dengan makanan Korea, aku ambil sahaja tanpa memikirkan apa-apa. Kecuali yang betul-betul berbentuk seperti daging, aku akan elakkan. Namun aku tak pernah menyangka spagetti, akan diletakkan bersama dengan kepingan ham(daging babi) bersama. Aku juga tidak menyangka nasi goreng kimchi dengan keju mozarella itu, rupanya cebisan daging babi. Nasi sudah menjadi bubur, harapkan keju, keju jadi daging. Malangnya sudah masuk ke dalam perut. Insurans pun tidak menampung kos menukar darah aku.

Aku sedar, tinggal sekian lama di Malaysia sedikit sebanyak membentuk pemikiran berkenaan halal-haram makanan yang sangat ketat. Tetapi, jika aku teruskan pemikiran ketat sebegini, aku akan hidup dengan penuh kesukaran di Korea. Lebih-lebih lagi aku tinggal di kawasan luar bandar untuk jangka masa yang lama.

Jadi, dalam memilih makanan, aku akan cuba mengelak hanya makanan yang secara nyata berunsur haram terutamanya daging babi. Namun, untuk mengenalpasti sama ada makanan yang dipesan di kedai-kedai makan kebanyakan itu mengandungi unsur babi atau tidak, wallahualam.

"Mahu pesan makanan di Korea, kalau tanyakan bahan jangan sampai ke dapur."

Aku teringat kata-kata Prof Lim, berjenaka.

Nasi, sup, kimchi, sudu dan pinggan sekalipun, belum tentu bebas 100% dari unsur-unsur haram. Makanlah sekadar yang mampu.


No comments:

Post a Comment