Monday, October 27, 2014

Penangan Soju

Kata orang, apabila seseorang ini mabuk, dia biasanya akan tunjukkan tingkah laku yang berbeza berbanding ketika tidak mabuk. Mereka boleh jadi lebih agresif, mereka boleh jadi lebih terbuka, dan kadangkala mereka akan luahkan apa yang mereka selama ini pendamkan.

Di Korea, budaya minum ini sangatlah tidak asing, bahkan menjadi tradisi budaya mereka. Di zaman ini, lambakan kedai minum ala bar, mahupun kedai-kedai biasa, memang akan menyediakan minuman keras. Minuman keras yang paling lazim ialah bir, makgeolli, dan juga soju. Ketiga-tiga minuman ini mempunyai kandungan alkohol yang berbeza, dan juga rasa yang berbeza. Budaya minum menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Tahukah anda, meminum minuman keras di khalayak umum adalah dibenarkan di sisi undang-undang Korea, tetapi tidak di Amerika Syarikat?

Sebagai Muslim, saya memilih untuk tidak meminum minuman keras. Meskipun  pandangan kebiasaan bahawa orang Muslim tidak meminum minuman keras adalah atas sebab larangan agama, namun saya tidak minum kerana saya memilih untuk tidak minum, meskipun saya mampu jika saya mahu. Sebabnya, masih terdapat ramai Muslim yang memilih untuk berbuat sedemikian.

Sebagai individu yang hidup bersama-sama dengan komuniti masyarakat Korea, saya fikir ada eloknya saya terlibat sama dengan aktiviti seharian mereka. Saya belajar cara hidup orang Korea, berkomunikasi dengan mereka, lakukan apa yang mereka buat, tanpa memberi pandangan yang etnosentrik atau berat sebelah. Meskipun saya fikir saya sudah tinggal agak lama dengan orang Korea, namun belum berani memberikan apa-apa penyataan stereotaip yang umum dengan melabelkan mereka sesuka hati saya. Saya sedar bahawa kecenderungan untuk membuat perbandingan dengan budaya Melayu amatlah tinggi, namun perbuatan itu bukanlah sesuatu yang bersifat arif.

Pada malam tadi, usai kuliah Antropologi Ekonomi, profesor Hong mengajak kami semua untuk keluar minum. Ya, tentulah bukan teh tarik. Namun saya boleh memilih untuk minum Coca Cola. Dua minuman yang lazim, antara minuman keras, atau minuman bergas. Minuman bergas, hanya ada Cola (Pepsi, Coke) atau Cider (Sprite, 7-Up, Chilsung Cider). Tidak perlu risau tentang jenama minuman, kerana rasanya pun tidaklah banyak bezanya.

Kami minum, dan berbual. Kadangkala secara rawak, kami lagakan gelas sesama kami. Profesor Hong dengan gelas sojunya, aku dengan gelas berisi Cola, dan rakan sekelas yang lain dengan gelas bir mereka. Tiada rasa janggal lagi untuk aku. Tidak seperti setahun yang lepas, aku masih baru dengan budaya minum di Korea. Sepanjang aku tinggal di Busan, aku tidak terdedah dengan budaya minum Korea kerana kebanyakan kawan Koreaku tidak mengajakku untuk keluar minum bersama, kerana memikirkan bahawa ia kurang sopan.

Profesor Hong, sudah dua botol soju. Muka beliau juga sudah kemerahan.
"Marilah kita balik"

Aku menemai beliau ke arah jalan besar untuk menahan teksi, Sedang kami berjalan, dia meletakkan dengannya dibahu aku, dan diapit erat.
"Ahmad, belajar sungguh-sungguh ya. Sukar bagaimana sekalipun, teruskan usaha."

Aku hampir tidak percaya dengan kata-kata yang keluar dari mulut beliau. Tidak seperti tahun lepas, beliau sering mengeluarkan kata-kata yang keras, dan sering juga memperlekehkan aku di dalam kuliah. Itu tidak termasuk dengan paksaan untuk minum minuman keras. Untung saja hati aku lebih keras. Namun kali ini, perkara sedemikian tidak berlaku.

"Baik Profesor, saya akan usaha sedaya upaya saya."

Kebetulan saya sempat menahan sebuah teksi yang lalu sebelum sempat kami sampai ke jalan besar. Profesor pun berlalu pergi.

Ya, aku fikir dia sudah banyak berubah. Atas sebab kekerasan hati aku, hati beliau pula menjadi lembut. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan hari-hari berikutnya lebih baik untuk beliau. Ya, meskipun beliau mabuk akalnya, masih ada yang baik di hatinya.

No comments:

Post a Comment