Friday, November 18, 2016

Makgeolli Halal?

Kalau Makgeolli ini tak ada alkohol, mungkin halal. Tapi malangnya tidak.

Makgeolli ini minuman yang diperbuat daripada beras, dan ia adalah lebih tradisional sedikit berbanding soju atau bir. Tiga minuman ini (makgeolli, soju, bir) adalam minuman keras yang paling lazim untuk orang Korea. Di mana-mana restoran atau kedai makan biasa sekalipun, minuman ini kebiasaannya akan ada di dalam peti sejuk. Kecuali makgeolli.

Makgeolli airnya berwarna sedikit putih. Makgeolli juga jarang dihidangkan di dalam gelas, kerana ia lebih lazim dihidangkan di dalam mangkuk. Sesuai benarlah dengan gelarannya sebagai minuman keras tradisional hinggakan cara meminumnya juga masih kekal. Oleh itu, minuman Makgeolli ini tidaklah begitu popular untuk dijual di restoran-restoran biasa, melainkan restoran autentik Korea yang pelanggannya kebanyakan ialah pelanggan berusia. Mereka lebih suka makgeolli.

Saya pernah mencium bau makgeolli ini terus dari botolnya. Baunya, tidaklah begitu asing. Sangat sama dengan bai tapai nasi yang boleh didapati dengan mudah di Malaysia. Jadi, saya boleh mengandaikan bahawa rasa makgeolli ini tidak banyak beza dengan rasa air tapai, hanya mungkin lebih keras kerana disimpan/diperam lebih lama sehingga kadar alkohol di dalamnya lebih tinggi.

Sekarang minuman ini dijual di dalam botol, dan juga di dalam tin. Amat mengelirukan bagi mereka yang tidak tahu membaca Hangul, dan juga tidak biasa dengan budaya minum di sini. Corak pada bungkusan minuman itu amat menarik seolah-olah ia adalah air teh bunga sakura.

Kalau terminum, tak apalah. Dimaafkan. Tak perlu cuci darah pun. Tapi kalau mabuk, pandai-pandailah jaga diri.

Makgeolli, tak halal.


No comments:

Post a Comment